Friday 15 March 2013

HOT !!! BN untuk KELANTAN, KELANTAN untuk BN ???


KUALA KRAI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat Kelantan perlu memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 nanti kerana kerajaan BN akan melakukan yang terbaik untuk mereka.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, semua janji untuk memajukan negeri ini, termasuk tujuh projek yang diumumkan semasa lawatan beliau Januari lalu, akan ditunaikan BN.
“Janji Barisan Nasional adalah janji ditepati,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 45,000 orang pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai di sini Jumaat.

Najib yang dalam lawatan sehari ke negeri ini, berkata tindakan sedang diambil bagi melaksanakan tujuh projek itu termasuk pembinaan lebuh raya dari Kuala Krai-Kota Baharu, yang bukan sahaja memberi faedah kepada penduduk jajahan Kuala Krai, tetapi rakyat seluruh negeri ini.

Beliau berkata kerajaan BN juga akan menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang membelenggu rakyat Kelantan berikutan kegagalan kerajaan negeri pimpinan PAS menyelesaikannya walaupun sudah lebih 22 tahun memerintah.

Sambil membidas tindakan kerajaan negeri memberi tanah kepada pemimpin DAP Perak, Najib berkata kerajaan BN bersedia untuk memberi tanah kepada rakyat Kelantan yang rata-rata ‘dahagakan’ hak untuk memiliki tanah.
“Jangan beri tanah kepada pemimpin DAP…buat apa beri tanah kepada pemimpin DAP…rakyat Kelantan dahagakan tanah…pemimpin DAP dapat 10,000 ekar tanah, rakyat Kelantan dapat apa? Kita akan beri tanah kepada rakyat Kelantan,” katanya.

Perdana menteri turut membidas pemimpin pembangkang yang katanya hanya pandai menabur janji tetapi gagal untuk menunaikannya dan ini dapat dilihat berlaku bukan sahaja di Kelantan tetapi di Selangor.
Beliau berkata PAS yang sanggup ‘melutut’ kepada pemimpin DAP, gagal melaksanakan perjuangan menegakkan negara Islam dan hukum hudud, yang dicanang selama ini.
Pengerusi BN itu juga berkata kerajaan BN bersedia untuk memajukan negeri ini dengan membawa masuk pelaburan besar supaya dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak untuk generasi muda.
Najib mahu rakyat negeri ini menolak pemimpin PAS yang memperkecil pelbagai bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang dihulurkan kerajaan pusat kepada rakyat, dengan menyamakan pemberian itu umpama hampas kelapa, jerami dan padi untuk haiwan.

Perdana menteri yakin gelombang sokongan yang kini semakin besar kepada BN, menunjukkan rakyat sudah tidak sabar lagi untuk memberi mandat kepada BN pada PRU-13 nanti untuk memerintah Kelantan.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Umno Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman. - BERNAMA
Kredit Photo-NST

Sumber: KLIK SINI

PILIH BN, PILIHAN TERAIK !!!

2 comments:

  1. Salam perjuangan..mohon tuan pautkan blog saya disini.http://metromalaya.blogspot.com/.blog tuan saya sudah pautkan.t.kasih

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...